Saya baru sahaja membaca satu berita mengenai sebuah syarikat jualan langsung yang dikatakan gagal membayar gaji dan bonus untuk pekerja dan pengedarnya. Manakala stok-stok barang tidak dapat dikeluarkan. Saya terus berfikir, apakah nasib-nasib peniaga yang 100% bergantung kepada keluaran produk syarikat itu?
Saya tidak mahu berbicara mengenai syarikat itu kerana adalah normal sesebuah syarikat akan mengalami fasa yang menguji. Dalam perniagaan ada kitarannya. Ada masa kita cemerlang, ada masa kita untung besar, ada masa nama kita gah dan ada masa kita jatuh ke bawah semula.
Bukan hanya syarikat itu, malah sebenarnya banyak syarikat jualan langsung yang tumbuh hilang berganti. Pada peringkat awal ahli-ahli gah dengan pendapatan besar, tetapi kemudian diam membisu setelah syarikat itu terkubur sepi.
Berbeza dengan syarikat yang saya baca itu, saya kagum, kerana mereka telah lebih 10 tahun dalam bidang perniagaan. Tempoh yang lama itu menunjukkan mereka serius dalam bisnes dan tidak seperti syarikat lain yang tidak mampu bertahan walaupun untuk tiga tahun pertama.
Bagi saya, syarikat itu telah melalui satu kitaran penuh dan ‘kegagalan’ itu sebenarnya adalah baik bagi mereka untuk merancang strategi dan formula baru. Insya Allah mereka akan berkembang kembali. Kita doakan syarikat itu kembali berkembang pesat.
Pelajaran yang boleh kita ambil adalah, sebagai usahawan kita perlu melakukan pelbagai persiapan untuk menghadapi keadaan sebegitu. Antaranya:
- Mempunyai lebih daripada satu sumber pendapatan.
- Tidak bergantung sepenuhnya kepada satu syarikat pembekal.
- Gunakan hasil pendapatan untuk menyimpan, melabur dan membeli emas.
- Mempunyai simpanan peribadi dan simpanan kecemasan.
- Jika kita adalah seorang pengedar kepada mana-mana syarikat, pastikan kita juga mempunyai bisnes sendiri dalam bidang yang sama atau bidang berbeza.
- Sediakan pelan tindakan kecemasan, plan B atau exit plan anda berlaku keadaan begitu.
Apa jua yang kita lalui, ia adalah pelajaran untuk kita. Jika kita jatuh, berusaha dengan cepat untuk kembali bangkit. Jika kita sedang berjaya dan gah di mata orang ramai, kita buat persediaan untuk menghadapi apa jua hari-hari yang gelap tanpa kita jangkakan.
Seorang mentor saya dengan tegas memberitahu, “Buatlah bisnes sendiri. Tidak perlu buat bisnes orang lain.”
Orang lama berkata, “Sediakan payung sebelum hujan.” Dan Nabi Muhammad telah lama berpesan, “Rebut masa senang sebelum masa susah.”
.
No comments:
Post a Comment