Friday, 30 March 2012

Artikel Terkini Perniagaan Internet - SmartUsaha.com: Siapa Sasaran Perniagaan Anda?

Artikel Terkini Perniagaan Internet - SmartUsaha.com
Artikel terkini di blog SmartUsaha.com.
Siapa Sasaran Perniagaan Anda?
Mar 30th 2012, 21:15

Adakah kita pernah tertanya, mengapa perniagaan kita lesu daripada sambutan pelanggan? Sudah pelbagai cara promosi dilakukan, tetapi tetap gagal meraih mendapat pelanggan yang ramai.

Pelik dan ajaib juga, walaupun produk sudah berkualiti super, tetapi perniagaan tetap gagal mendapat keuntungan yang memuaskan.

Keadaan semakin teruk apabila orang yang terdekat seperti keluarga dan rakan-rakan mula memandang sinis terhadap usaha perniagaan yang kita lakukan itu…

Formula Mudah Melariskan Jualan Produk

Pada kali ini, saya akan kongsikan satu perkara yang cukup penting dalam sesebuah perniagaan. Sebelum itu, saya ingin nyatakan bahawa, perniagaan adalah mudah dan keuntungan pula boleh terhasil pada bila-bila masa yang kita mahukan (dengan izin-Nya).

Maka persoalan ini akan mula timbul, "Tetapi, mengapa produk saya tidak begitu laris terjual?"

Apabila kita memulakan sebarang bentuk perniagaan, ia akan melalui proses yang sama walaupun berbeza produk dan perkhidmatan. Soalan kritikal dan pertama yang harus ditanya oleh usahawan adalah, "Siapakah sasaran utama perniagaan / produk ini?" Sasaran adalah bermaksud, kategori pelanggan dari segi umur, keinginan, keperluan, kerjaya, tahap ekonomi, jantina, bangsa ataupun pendidikan.

Kegagalan akan berlaku apabila kita tidak jelas sepenuhnya mengenai sasaran perniagaan kerana ia akan menyebabkan kita tidak fokus, hilang daya konsisten, kerap menukar strategi, kurang yakin diri dan tidak mampu menyampaikan maklumat produk dengan baik kepada prospek.

Sebaliknya, kejayaan akan diperolehi apabila kita memulakan sebuah perniagaan dengan mendefinisikan pelanggan kita dengan spesifik dan jelas. Kita akan lebih mampu beraksi dengan penuh keyakinan diri, kerana kita tahu sasaran sebenar tanpa perlu berkomunikasi dengan prospek yang tidak sesuai.

Sebagai contoh, katakan kita mahu menjalankan sebuah perniagaan seminar dan latihan. Tidak mustahil kita boleh mensasarkan kepada semua golongan masyarakat di negara ini, namun adalah lebih mudah dan menguntungkan apabila kita memfokus kepada golongan tertentu sahaja.

Contohnya, kita hanya menganjurkan program-program untuk para usahawan sahaja. Apabila kita jelas bahawa pelanggan sasaran kita adalah usahawan, maka kita semakin ligat dan mudah memikirkan idea-idea yang menguntungkan, selain senang melakukan promosi secara konsisten.

Berbanding jika kita mahu mendapatkan peserta daripada pelbagai golongan, kita perlu memikirkan bentuk mesej yang berlainan bagi menerangkan program yang kita anjurkan, selain perlu menyediakan pelbagai kemudahan yang bersesuaian bagi setiap golongan.

Begitu juga jika kita mahu menulis buku, kerja penulisan dan pemasaran akan menjadi lebih mudah apabila kita fokus kepada satu golongan pembaca sahaja seperti dari segi umur, kerjaya, tahap pendidikan, minat dan sebagainya.

Soalan Ringkas Yang Berkuasa

Bagi pembaca artikel ini yang akan memulakan perniagaan, soalan ini boleh ditanya berkali-kali sehingga mendapat jawapan yang jelas, "Siapakah pelanggan sasaran untuk perniagaan / produk ini?".

Manakala bagi usahawan yang sudah memulakan perniagaan, menanyakan soalan berikut pada diri sendiri dapat membantu menilai keadaan semasa perniagaan sama ada kita sudah jelas ataupun tidak dengan sasaran sebenar perniagaan, "Adakah usaha pemasaran selama ini ditujukan kepada sasaran yang tepat dan sesuai dengan produk yang ditawarkan?"

Soalan itu begitu mudah, tetapi berupaya memberi impak yang besar kepada perniagaan.

Saya doakan pembaca dipermudahkan dalam usaha perniagaan yang dilakukan. Sebaik-baik bantuan adalah daripada Allah jua.

You are receiving this email because you subscribed to this feed at blogtrottr.com.

If you no longer wish to receive these emails, you can unsubscribe from this feed, or manage all your subscriptions

No comments:

Post a Comment