Dalam seminggu dua ini, saya belajar dua kemahiran baru:
- Satu sistem (perisian) online (nama sistem dirahsiakan dahulu). Setiap pelanggan saya boleh caj paling rendah RM500. Dan kini saya sudah mula dapat tempahan daripada pelanggan walaupun saya masih belum habis belajar sepenuhnya (tapi sudah mula mahir dan yakin). Selama ini hanya fokus pada sistem WordPress, tetapi kini tambah lagi satu kemahiran.
- Setup ‘server’ sendiri. Selepas ini, saya boleh beli domain dan hosting secara sendiri. Tidak perlu lagi melalui mana-mana syarikat hosting. Server ini juga akan digunakan untuk klien yang mendapatkan perkhidmatan daripada saya.
Adakah mungkin saya akan memulakan bisnes hosting sendiri? Sudah lama simpan hasrat ini sebenarnya.
Kedua-dua kemahiran itu saya pelajari dengan mencari melalui Google.com sahaja (panduan di Internet). Dengan kemahiran baru itu, potensi untuk saya menjana pendapatan melalui Internet semakin membesar.
Mungkin sekali sangka, belajar melalui mencari sendiri adalah percuma. Sebenarnya tidak. Ia mungkin percuma dari aspek wang, tetapi cara itu sebenarnya menuntut ‘bayaran’ dalam bentuk masa dan tenaga (kudrat). Semua orang ada masa, tetapi tidak semua orang mempunyai masa lapang yang banyak. Semua orang ada tenaga, tetapi tidak semua orang mempunyai tahap kesihatan yang serupa.
Walaupun banyak maklumat dan panduan percuma melalui google.com, namun tidak semua orang ada masa yang banyak. Selain itu, mencari maklumat di Google.com juga memerlukan kemahiran dan sedikit pengalaman. Ia ada trik dan cara tersendiri.
Malah, tempoh masa untuk belajar sendiri dengan mencari panduan di Internet bukan sejam dua, tetapi mengambil masa BERPULUH-PULUH JAM. Ia satu proses yang memenatkan, kerana tidak semua ilmu baru yang dipraktikkan terus menjadi, sebaliknya ada yang dicuba akan gagal (tidak menjadi) beberapa kali. Ia sudah pasti memerlukan kesabaran yang tinggi, mencuri waktu tidur dan terkadang terlepas waktu makan dan minum.
Wujudkah Jalan Pintas?
Ada. Jalan pintas untuk belajar dan menguasai sesuatu kemahiran dengan mudah dan segera adalah dengan:
1. Bertanya.
2. Beli panduan (buku, ebook dan video).
3. Sertai kursus dan seminar.
4. Mentor / coach.
Setiap apa yang kita bayar, ia adalah satu pelaburan untuk perniagaan kita. Katakan kita keluarkan wang sebanyak RM200 hanya sekali sahaja untuk belajar satu kemahiran, ‘pelaburan’ itu mampu memberi hasil berganda-ganda banyaknya (selagi kita mahu, berusaha dan selagi Allah izinkan). Malah ia mampu menjimatkan banyak wang daripada melakukan kesilapan yang merugikan perniagaan.
Setiap hasil yang kita perolehi adalah berdasarkan sejauh mana usaha dan pengorbanan kita, serta sedalam mana kemahiran yang kita miliki. Ya, kemahuan, kesanggupan dan keinginan yang tinggi juga adalah faktor yang tidak dapat dinafikan dalam meraih sesuatu.
Sebenarnya agama Islam sendiri sudah lama memberitahu rahsia kejayaan, iaitu orang-orang yang berjaya adalah orang-orang yang berilmu dan beramal (berkemahiran dan bertindak). Dalam Al-Qur’an, Allah s.w.t juga telah berpesan agar kita tidak mudah berputus asa daripada rahmatNya. Allah Tuhan kita. Dia adalah sumber motivasi teragung yang tidak ada cacat dan kurang. Motivasi bagaimana dan daripada siapa lagi yang kita mahukan?
ps. Selepas ini saya mahu belajar sistem Joomla pula (untuk buat website jenis portal). Sudah lama saya ‘tinggalkan’ sistem ini sejak tahun 2006. Satu ‘job’ boleh caj paling kurang RM700 atau RM1000 (lihat pada spesifikasi). Saya juga pernah mengendalikan portal sebuah jabatan penting di sebuah IPT tersohor, yang menggunakan sistem ini.
pps. Tahun ini saya tekad, sebahagian besar masa akan digunakan untuk buat bisnes online hanya dari rumah (Revolusi SOHO). Sebab itu saya sudah jarang mengadakan seminar ataupun kursus di dunia nyata. Dengan berbisnes, “masa dan kebebasan bekerja adalah milik kita”.
FB Page perniagaan saya di sini: http://facebook.com/InspirasiMaya
No comments:
Post a Comment