Bidang perniagaan Internet di Malaysia semakin berkembang. Satu demi satu perkembangan berlaku, terutama kemudahan yang disediakan oleh kebanyakan syarikat besar.
Kali ini, pihak Poslaju menyediakan kemudahan yang dipanggil sebagai Kotak Prabayar dan Sampul Prabayar. Kata pihak Poslaju, mereka sediakan kemudahan ini adalah khas untuk peniaga online.
Bagaimana Ia Berfungsi
Biasanya, untuk menghantar barang kepada pelanggan melalui Poslaju, kita akan bungkus dahulu barang, timbang beratnya, buat bayaran dan kemudian baru hantar.
Tetapi dengan kemudahan kotak/sampul prabayar, kita hanya perlu beli sampul/kotak yang sesuai dengan barang yang kita mahu kirimkan, masukkan barang, isi borang dan kemudian serahkan kepada pihak Poslaju (pejabat pos).
Beli sampul/kotak > Masukkan barang + Isi borang > Hantar
Dimudahkan cerita, konsepnya sama seperti Pos Ekspress (beli sampul, masukkan dokumen, tulis alamat dan masukkan dalam peti kuning). Cuma untuk kotak/sampul prabayar ini, ia dikendalikan oleh pihak Poslaju.
Keterhadan perkhidmatan ini adalah, buat masa ini ia boleh digunakan untuk menghantar barang dalam semenanjung Malaysia sahaja. Selain itu, ia sesuai untuk produk yang beratnya maksimum 10kg sahaja (pada masa post ini ditulis).
Harga Sampul dan Kotak
Harga sampul bermula dengan RM6, seperti yang disenaraikan di laman web perkhidmatan/kemudahan ini.


Cara Penggunaan (dipetik dari laman web Poslaju)
- Beli Kotak Prabayar atau Sampul Prabayar di mana-mana pusat jualan yang terpilih.
- Isikan slip pengeposan (borang PL1A) yang disertakan bersama Kotak Prabayar atau Sampul Prabayar tersebut.
- Masukkan slip pengeposan (borang PL1A) di dalam poket plastik tersedia pada Kotak Prabayar atau Sampul Prabayar tetapi JANGAN tutup pelekat tepi poket plastik tersebut.
- Serahkan Kotak Prabayar atau Sampul Prabayar kepada Pusat PosLaju atau Pejabat Pos yang berdekatan untuk pengeposan.
Kelebihan: Tidak perlu risaukan lagi mengenai harga bayaran (kos poslaju) kerana harganya telah tetap. Jadi kita sebagai usahawan dan peniaga, akan lebih mudah untuk mengira kos penghantaran dan mengurus perbelanjaan / kewangan perniagaan.
Berita: Pos Malaysia Lancar Pos Laju Prabayar, Manfaatkan Urus Niaga Dalam Talian
SHAH ALAM: Pos Malaysia Bhd pada Sabtu melancarkan sampul surat dan kotak prabayar bagi perkhidmatan penghantaran Pos Laju, untuk memanfaatkan urus niaga dalam talian yang semakin berkembang di Semenanjung Malaysia.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulannya, Datuk Khalid Abdol Rahmad, berkata kotak dan sampul surat prabayar itu akan memenuhi permintaan daripada perniagaan dalam talian dari sudut penyediaan penyelesaian penghantaran yang mudah dan menjimatkan.
“Poslaju Prabayar akan membantu usahawan perniagaan dalam talian memastikan kos penghantaran mereka tidak dikenakan terlalu rendah atau terlalu tinggi kepada pelanggan mereka.
“Perniagaan dalam talian berkembang pesat di seluruh dunia dan bagi pasaran Malaysia, ia dijangka berkembang dalam tiga tahun akan datang,” katanya pada satu taklimat media di sini Sabtu.
Khalid berkata sampul surat dan kotak prabayar itu boleh dibeli di lebih 300 titik jualan di Semenanjung Malaysia termasuk 156 cawangan Pos Malaysia yang terpilih dan 48 pusat Pos Laju di Semenanjung Malaysia.
Beliau berkata Pos Malaysia bercadang untuk memperluas perkhidmatan Pos Laju prabayar ini ke Sabah dan Sarawak menjelang suku ketiga tahun ini.
Pada masa ini, katanya, Pos Laju menguasai 29 peratus agihan pasaran penghantaran domestik.
“Kami nampak populariti perniagaan pembungkusan kecil yang semakin meningkat dan Pos Laju ingin merebut agihan pasaran berpotensi yang semakin meningkat ini dengan mengadakan perkhidmatan bungkusan kecil ini bagi peniaga dalam talian,” katanya. – BERNAMA
Kesimpulan
Sudah banyak kemudahan yang ada di Malaysia. Dari kemudahan rangkaian Internet yang pelbagai pilihan, perkhidmatan pembayaran online, Paypal membuka pejabat urusan di Malaysia, pelbagai pilihan kad debit, pemantauan SSM terhadap usahawan Internet, perbankan Internet, pelbagai pembekal produk, rujukan-rujukan seperti buku, seminar dan kursus perniagaan Internet, dan sehinggalah kepada kemudahan penghantaran untuk produk fizikal.
Jika dahulu banyak pihak tidak tahu dan tiada fokus terhadap bidang perniagaan Internet ini, sekarang tidak lagi. Sekurang-kurangnya mereka akan sediakan satu pakej ataupun kemudahan yang khas untuk perniagaan online.
Tiada lagi alasan untuk melakukan perniagaan melalui Internet.
Sumber rujukan:
- Pos Malaysia: PRABAYAR POSLAJU
- mStar Online: Pos Malaysia Lancar Pos Laju Prabayar
No comments:
Post a Comment